Sabar ialah pangkal kejayaan, berbeza dengan sikap berputus asa.
Imam al-Ghazali menghuraikan bahawa sabar ialah sifat yang membezakan di antara manusia dan haiwan dalam hal menundukkan hawa nafsu. Barang siapa yang tetap tegak bertahan sehingga dapat menundukkan hawa nafsu dengan terus-menerus, maka orang itu termasuk dalam golongan orang yang sabar.
Apa yang jelas, kesabaran biasanya diuji apabila seseorang itu ditimpa kesusahan seperti nahas, sakit, kematian, atau harta kesayangan hilang atau rosak.
Allah berfirman yang bermaksud: ."Sesungguhnya Kami akan menguji kamu sekalian dengan satu cubaan berupa ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan tanam-tanaman. Berikanlah khabar gembira kepada orang yang bersabar iaitu ketika mereka ditimpa musibah mereka berkata: 'Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami akan kembali.' Mereka orang yang mendapat kurnia , kehormatan dan rahmat Tuhan dan merekalah orang yang mendapat hidayah."(Surah al-Baqarah, ayat 155 hingga 157)
Allah menguji manusia dengan pelbagai jenis ujian. Mungkin sewaktu mereka mewah dan senang dan mungkin juga sewaktu melarat atau susah.
Ujian berbentuk penderitaan hidup biasanya diatasi sendiri oleh manusia.
Sebaliknya, ujian berbentuk kesenangan dan kemewahan jarang dihadapi dengan sabar dan tabah. Ada manusia lupa daratan selepas dikurniakan harta dan pangkat sehingga lupa untuk terus berbakti sesama manusia.
Dalam hal ini, ada manusia yang kaya harta tetapi miskin jiwa dan rohaninya. Mental dan moralnya juga tidak bernilai kerana manusia seolah-olah lupa siapa yang menjadikannya kaya dan hidup mewah.
Dalam al-Quran, surah Al-i Imran, ayat 200, Allah berfirman yang bermaksud: " Wahai orang yang beriman, bersabarlah dan perkuatkanlah kesabaran di antara sesama kamu, dan bersedialah kamu, serta bertakwalah kepada Allah, agar kamu sekalian memperolehi kemenangan."
Sifat marah pula bukan sahaja dimurkai Allah, malah tidak disenangi sesama manusia. Sabda Rasulullah, yang bermaksud: "Jagalah diri kamu daipada perbuatan marah. Sesungguhnya marah itu laksana bara api yang menyala di hati bani Adam. Cubalah perhatikan ketika seseorang marah, lehernya kembang, dua biji matanya merah."
Jika orang yang marah sentiasa mengingati kebesaran dan keagungan Allah, nescaya akan redup api kemarahannya, sekali gus menyebabkan fikiran dan tindakannya kembali normal.
Abu Hurairah dan Said Al-Magburi meriwayatkan: " Ada seseorang lelaki memarahi Saidina Abu Bakar. Ketika itu Rasulullah duduk di sebelahnya. Nabi diam saja, begitu juga Abu Bakar.
" Selepas orang itu selesai memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat, Abu Bakar membalas makian itu, tetapi Rasulullah bangun dan beredar dari situ."
" Abu Bakar hairan dan terus mengekori Nabi Muhammad sambil berkata: " Ya Rasulullah, dia memaki saya dan engkau pula diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba engkau bangun lalu pergi."
Rasulullah lantas menjwab: " Sesungguhnya Malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, tetapi ketika engkau membalas makian itu, maka Malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan aku tidak suka duduk dengan syaitan," jawab Baginda.
Rasulullah kemudian bersabda: "Allah akan memuliakan hambaNya ketika dianiaya, lalu memberikannya kemaafan sambil mengharapkan keredhaan Allah."
Abu Said al-Khurdi pula meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Awaslah kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam. Maka sesiapa yang berasakan demikian ketika berdiri, hendaklah dia duduk dan jika dia duduk hendaklah dia baring."
Abu Hurairah al-Bahili pula meriwayatkan Rasulullah pernah bersabda: "Sesiapa yang pemarah tetapi dapat menahan marahnya dengan sabar, maka Allah akan isi hatinya dengan keredhaan pada hari kiamat."
14 panduan menanam sifat sabar,,
- Jangan terlalu memikirkan mengenai masalah, sakit kepala dan kesakitan serta mengharapkan simpati dan perhatian daripada orang lain.
- Terimalah hakikat bahawa lebih banyak perhatian yang anda berikan kepada perkara-perkara ini lebih teruklah keadaan anda nanti. Semua perkara akan menjadi kelam kabut dan hati anda terluka dan berasa tidak sabar kerana orang lain tidak ambil peduli.
- Jangan fikir anda harus menunjuk kepada orang lain bahawa anda berada dalam keadaan yang betul dan dapat memenangi hati mereka dalam setiap perkara yang anda lakukan.
- Terimalah hakikat betapa sukarnya untuk menyenangkan hati setiap orang pada setiap masa. Pastikan bahawa anda bersikap adil dan wajar dan biarkan masa menentukannya.
- Jangan fikir anda mengetahui benar apa yang terbaik untuk orang lain.
- Terimalah hakikat sementara anda boleh terus cuba memujuk, tetapi akan menimbulkan kesusahan untuk mengharapkan mereka melakukan apa yang anda hendakkan. Ini tentunya mencetuskan ketidaksabaran ke atas kedua-dua pihak.
- Jangan memikirkan bahawa kerana terdapat mereka yang tidak bersetuju dengan anda, mereka bersifat tidak wajar terhadap anda.
- Terimalah hakikat bahawa manusia berhak kepada pandangan yang dikemukakan. Anda mengharapkan mereka membenarkan anda mendapat hak yang sama itu.
- Jangan fikirkan mengenai semua perkara buruk yang akan berlaku ke atas diri anda.
- Terimalah keadaan bahawa setiap orang mempunyai masa rehatnya. Cuba lihat di luar daripada diri anda.
- Bersimpati terhadap orang lain akan membantu anda bersifat lebih sabar.
- Jangan fikirkan bahawa sifat yang tidak menentu itu (moodiness) dalam diri seseorang adalah terlalu penting.
- Terimalah hakikat kadangkala diri kita yang baik inipun boleh mengalami sifat berubah-ubah atau tidak menentu itu. Hadapilah dengan tenang dan cubalah kawal sifat berubah-rubah diri anda itu.
- Jangan fikir bahawa cita-clta dan apa yang anda kehendaki adalah terlalu penting.
- Terimalah hakikat bahawa wujudnya kesulitan jika terlalu mengharapkan sesuatu perkara dalam hidup, terhadap diri anda dan orang lain. Jika anda terlalu berharap, kedukaan dan kekecewaan akan menjadikan anda sedih dan berkelakuan hilang sabar.